ANGGOTA bomba membantu membersihkan dahan pokok yang tumbang di Jalan Persiaran Mahkota Cheras 2, Kajang, hari ini.
ANGGOTA bomba membantu membersihkan dahan pokok yang tumbang di Jalan Persiaran Mahkota Cheras 2, Kajang, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Dua sekeluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Persiaran Mahkota Cheras 2, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.30 pagi.

"Seramai 12 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai pokok tumbang berhampiran lampu isyarat di lokasi berkenaan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Proton Exora.

"Setiap kenderaan berkenaan dinaiki tiga individu sekeluarga. Keenam-enam mangsa berjaya keluar dari kenderaan masing-masing sejurus selepas kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, anggota bomba yang bertugas membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membersihkan sisa dahan pokok berkenaan.

"Sebaik selesai melakukan kerja-kerja pembersihan itu, operasi berkenaan ditamatkan kira-kira jam 11 pagi.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 6:06 PM