Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Beberapa Ketua Bahagian Umno yang tidak tercalon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada kali ini menyatakan untuk terus memberikan komitmen kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, mereka bukan sahaja sanggup memberi kerjasama di peringkat masing-masing, malah bersungguh-sungguh membantu menghadapi PRU-15 dengam bantuan jentera sedia ada.

Menurutnya, antara Parlimen yang memperkenalkan muka baharu adalah Tumpat, Ketereh, Rantau Panjang, Pasir Mas, Jeli, Kota Bharu dan Pengkalan Chepa.

"Mereka (Ketua Bahagian) akan turut keluar untuk menyertai taklimat dan berkempen sebelum hari pengundian.

"Situasi ini jelas menunjukkan kelebihan yang ada pada BN dalam menjaga hubungan baik walaupun tidak lagi bertanding.

"Saya yakin rakyat mahu melihat kerajaan yang stabil serta kukuh demi masa depan negara dan BN mempunyai kriteria terbabit. Insya-Allah kita boleh memenangi lebih lima kerusi pada PRU-15 kali ini.

"Dalam masa sama, saya menyeru seluruh jentera BN untuk bekerja bersungguh-sungguh selain perlu mengetepikan rasa tidak puas hati kerana yang penting pada ketika ini ialah kehendak rakyat," katanya dalam sidang media selepas majlis Penyerahan Watikah Calon BN Kelantan di Bangunan Umno Kelantan di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata, calon memainkan peranan penting untuk menarik undi rakyat sekali gus membentuk sebuah negara dengan kepimpinan cemerlang, tokoh sukan, warga pendidik

"Kami menetapkan lapan kriteria dalam mencari calon yang terbaik iaitu orang muda, golongan wanita, agamawan, usahawan, kumpulan profesional, tokoh sukan, warga pendidik dan ahli politik tentunya.

"Kesemua kriteria ini juga ada hasil daripada mendengar suara rakyat yang majoriti mahukan golongan tertentu untuk menjadi pemimpin di kawasan mereka.

"Umno mempunyai tokoh yang ramai, justeru kelebihan ini kita gunakan untuk mempersembahkan kepada rakyat dalam mengurus tadbir negara dengan baik.

"Impaknya, rakyat dapat merasai kestabilan dan keamanan dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 1:10 PM
Ahmad Jazlan berucap selepas menyampaikan watikah kepada calon-calon Barisan Nasional yang bertanding sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ahmad Jazlan berucap selepas menyampaikan watikah kepada calon-calon Barisan Nasional yang bertanding sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR