Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Jentera Barisan Nasional (BN) berjanji memberi sokongan penuh kepada calon Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Che Abdullah bertanding menggunakan tiket BN di Parlimen berkenaan dan pihaknya yakin beliau boleh menang.

"Untuk isu berkaitan Che Abdullah dipecat Pas, saya tidak boleh memberi sebarang pandangan dan soal keahliannya dalam parti BN kita akan bincangkan selepas PRU-15.

"Penyertaan Che Abdullah dalam BN adalah secara 'direct membership' dan perjuangan beliau dalam PRU-15 ini akan disokong sepenuhnya jentera BN," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon BN Kelantan di Pejabat Perhubungan Umno Kelantan di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Che Abdullah dipecat serta-merta daripada Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Che Abdullah yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan dikenakan tindakan disiplin kerana menjadi calon BN bagi Parlimen Tumpat pada PRU-15.

Ahmad Jazlan berkata, rakyat jelas bahawa hanya BN yang terbaik dalam mengurus tadbir negara.

Menurutnya, sebelum ini rakyat tidak boleh menilai kerana dulu tiada parti lain yang menerajui negara, kini bila banyak perubahan berlaku seterusnya memberi ruang kepada rakyat untuk memilih yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 3:42 PM