Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Wanita warga Thailand didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa di negara ini, bulan lalu.

Tertuduh, Miss Sanjai Mano, 38, membuat pengakuan sejurus dibacakan pertuduhan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Dalam penghakimannya, Mazana menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan serta menetapkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa tinggal di negara ini selama dua bulan 18 hari tanpa sebab munasabah selepas tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara yang sah laku sehingga 27 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 17 Oktober lalu, jam 11.05 malam di Tingkat 4, Marvelux Hotel, Jalan KLJ 1, Taman Kota Laksamana Jaya.

Dia dakwa melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) Kanun yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda minimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap oleh sepasukan anggota polis diketuai Inspektor I Kavitha yang membuat serbuan di bilik hotel ketika menunggu pelanggan dan barangan kes disyaki digunakan untuk kegiatan pelacuran turut dirampas.

Hasil semakan dengan Jabatan Imigresen Melaka mendapati pasport tertuduh hanya mempunyai pergerakan masuk ke negara ini pada 29 Jun lalu dan tiada pergerakan keluar.

Oleh itu dia melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Terdahulu peguam Omar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan denda ringan atas alasan mempunyai tanggungan dua anak berusia lima dan sembilan tahun di Thailand.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob bagaimanapun berhujah supaya hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 2:56 PM