FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Masyarakat disaran meneruskan amalan normal baharu berikutan berlakunya gelombang jangkitan Covid-19 didorong subvarian baharu Omicron, XBB yang dijangka meningkatkan penularan sehingga 5,000 kes sehari dalam beberapa minggu akan datang.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah ini perlu bagi mengekang penularan jangkitan yang lebih serius.

"Pematuhan amalan 3W iaitu kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengelakkan kawasan sesak, sempit serta bersembang dengan jarak dekat antara pendekatan perlu diberi penekanan walaupun peraturan itu tidak lagi diwajibkan.

"Selain itu, masyarakat juga digalakkan mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai usaha melindungi diri daripada terkena jangkitan teruk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Malaysia kini sedang berdepan dengan gelombang kecil XBB, subvarian kepada varian Omicron yang dijangka menyebabkan peningkatan jangkitan antara 3,000 hingga 5,000 kes sehari.

Beliau dipetik berkata, sehingga ini Kementerian Kesihatan mengesan empat kes jangkitan berkenaan di negara ini.

Katanya, kementerian tidak pasti sama ada gelombang kecil itu akan berubah menjadi besar, namun ia bergantung kepada tingkah laku masyarakat.

Mengulas lanjut, Dr Zainal tidak menolak kemungkinan kes Covid-19 akan meningkat, namun tidaklah membimbangkan seperti jangkitan varian Delta.

"Jika kita lihat di Singapura sudah merekodkan peningkatan kes akibat subvarian XBB tetapi tidak serius dan masih boleh dikawal apabila masyarakat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Ditanya kemungkinan negara akan berdepan peningkatan kes mendadak berikutan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan musim banjir yang bakal melanda, beliau yakin kerajaan serta Kementerian Kesihatan mempunyai kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, beliau terus menasihati masyarakat supaya kekal patuh kepada SOP dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 4:05 PM