GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sudah meningkatkan pemantauan buah nanas di pasaran tempatan sejak 2017.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Norrani Eksan berkata, sejak tahun lalu, pihaknya sudah mengenakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) ke atas 'baby nanas' (kulit berkupas) yang diimport ke dalam negara.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 115 sampel buah nanas diambil bagi tujuan analisis pelbagai parameter.

"Sebanyak 11 sampel didapati mengandungi siklamat dan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM8,500.

"Merujuk kepada isu buah nanas kecil atau dikenali 'baby nanas'yang tular di media sosial baru-baru ini dan didakwa mengandungi bahan pemanis tanpa zat siklamat, sebenarnya ia sudah tular pada 2017 dan 2019 di mana kenyataan akhbar berhubung perkara ini pernah dikeluarkan pada 31 Mei 2019.

"Siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali lebih daripada gula sukrosa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norrani berkata, menurut Codex General Standard for Food Additives (GSFA), siklamat dibenarkan ditambah dalam makanan tertentu seperti jem, jeli, marmalad, produk koko dan hasilan coklat termasuk sapuan koko dan coklat sebatian serta minuman berperisa.

"Namun siklamat tidak dibenarkan ditambah di dalam buah-buahan segar termasuk yang dikupas atau sedia dimakan.

"Peraturan-Peraturan Makanan 1985 turut tidak membenarkan penambahan siklamat pada buah-buahan segar," katanya.

Beliau berkata, KKM akan meneruskan pemantauan ke atas buah nanas di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan ia mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

"BKKM turut bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia bagi perkongsian data pemantauan nanas yang dijual di pasaran tempatan.

"Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan mengikut Akta Makanan 1983 atau peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.

Menurutnya, mereka yang didapati melanggar peruntukan itu boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, katanya, peniaga diingatkan tidak mengadukkan atau menjual buah 'baby nanas' yang terdapat siklamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 1:20 PM