FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Peniaga makanan diingatkan tidak menggunakan bahan seperti paku dan dawai kokot pada bungkusan makanan kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius sekiranya termasuk dalam makanan atau ditelan pengguna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum mengenai isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di

media sosial baru-baru ini, serta pandangan pelbagai pihak yang khuatir dengan bahaya kaedah pembungkusan makanan yang tidak selamat itu.

Katanya, tindakan undang-undang seperti denda dan penjara boleh dikenakan terhadap perbuatan berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan bawah Peraturan 37(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 ada menyatakan seseorang tidak boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada mana-mana

makanan hingga boleh mendedahkan makanan yang hendak dijual kepada risiko pencemaran oleh bahan-bahan itu.

Katanya, melalui Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 ia menyatakan pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna.

"Peniaga makanan yang menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpamanya yang berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Hukuman yang lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan itu ditemui dalam makanan. Bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya," katanya tadi.

Dr Noor Hisham berkata, penyedia dan peniaga makanan juga diingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.

Beliau berkata, berikutan sudah ada pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan membungkus makanan dengan baik, penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai terutama ibu bapa untuk memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan.

"Pengguna pula boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika menjumpai makanan yang dibungkus menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya serta lain-lain isu berkaitan keselamatan makanan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pada 2019 hingga 2021 mendapati sebanyak 19 atau 3.5 peratus daripada 546 sampel makanan yang dianalisis dicemari dengan bahan fizikal seperti batu, plastik, pasir, rambut, serangga dan cacing.

Berikutan itu, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan bawahnya sudah diambil terhadap pengusaha atau peniaga terbabit.

Selain itu, katanya, sebanyak 45,361 premis makanan diperiksa di seluruh negara pada 2021 dan daripada jumlah itu, sebanyak 697 atau 1.5 peratus premis makanan ditutup kerana pelbagai kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 2:34 PM