PIHAK FDA Thailand melakukan serbuan terhadap kilang menghasilkan sosej yang dikesan tidak mematuhi undang-undang kesihatan negara berkenaan.
PIHAK FDA Thailand melakukan serbuan terhadap kilang menghasilkan sosej yang dikesan tidak mematuhi undang-undang kesihatan negara berkenaan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Waspada terhadap kandungan kimia nitrit berlebihan di dalam produk daging dan sosej diimport dari Thailand yang didakwa boleh mengancam nyawa terutama kanak-kanak.

Ia susulan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand yang mendapati 22 daripada 44 sosej sampel diuji mengandungi paras bahan pengawet nitrit lebih tinggi daripada dibenarkan.

FDA mula menguji sosej selepas Pusat Racun Ramathibodi melaporkan bahawa 14 kanak-kanak dimasukkan ke hospital selepas mengidap penyakit methemoglobinemia iaitu gangguan darah yang disebabkan oleh pengambilan nitrit selepas makan sosej yang tidak mempunyai cop kelulusan FDA.

Susulan itu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak melakukan kajian terhadap kesemua 207 sampel produk hasilan daging termasuk sosej yang diambil daripada pasaran tempatan dan pintu masuk untuk dianalisis tahap kandungan nitrit.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Mohd Salim Dulatti berkata sampel berkenaan diambil untuk dianalisis selepas KKM mengambil maklum laporan FDA Thailand mengenai produk sosej yang diuji mengandungi nitrit melebihi paras dibenarkan agensi berkenaan.

Menurutnya, FDA Thailand melakukan ujian tersebut selepas 14 kanak-kanak di negara itu mengalami methemoglobinemia.

Di Malaysia, katanya, produk hasilan daging seperti sosej boleh mengandungi nitrit pada paras tidak melebihi 80 miligram selaras dengan standard antarabangsa Codex.

"Hasil analisis yang dijalankan mendapati kesemua sampel sosej didapati mematuhi tahap keselamatan ditetapkan," katanya, semalam.


Menurutnya, BKKM sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kedutaan Thailand berkenaan produk sosej yang mengandungi nitrit berlebihan itu.

Mohd Salim berkata, KKM akan meneruskan pemantauan keselamatan makanan di pasaran tempatan dan pintu masuk negara supaya produk dipasarkan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Nitrit adalah bahan pengawet makanan yang sering digunakan dalam produk hasilan daging bagi merencatkan pertumbuhan bakteria (anti mikrob) di samping menyerlahkan warna makanan.

Pengambilan nitrit pada kadar yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu cepat merasa letih dan penat, sukar bernafas, pening dan sakit kepala, berdebar-debar dan kelihatan pucat. Anak yang lahir dari ibu yang banyak mengambil makanan mengandung nitrit di dalam daging diawetkan dibimbangi memiliki risiko tumor otak.

Malah, nitrit yang berubah sifat menjadi nitrosamin boleh menjadi punca kanser usus besar dan kanser perut berdasarkan kajian dilakukan Journal of American Medical Association.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 7:00 AM