BABY nanas jenama Dragon King yang dikatakan mempunyai siklamat. FOTO Ihsan KKM
BABY nanas jenama Dragon King yang dikatakan mempunyai siklamat. FOTO Ihsan KKM
Mohd Husni Mohd Noor


‘BABY nanas’ jenama Dragon King dari Thailand tidak dieksport ke Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkara itu disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan semakan data menerusi Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) sejak 2017.

Beliau berkata, kementerian sudah meningkatkan pemantauan terhadap nanas import di pintu masuk negara dari 2017 sehingga kini.

Katanya, sejumlah 65 sampel nanas diambil bagi tujuan analisa pelbagai parameter seperti bahan pemanis (termasuk siklamat), bahan pengawet dan residu pestisid.

“Kesemua sampel itu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

“Kementerian juga akan meneruskan pemantauan ke atas semua nanas di semua pintu masuk negara bagi memastikan ia mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

“Sekiranya didapati tidak dipatuhi, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai isu buah ‘baby nanas’ jenama Dragon King dari Thailand yang didakwa mengandungi siklamat.

Dr Noor Hisham berkata, isu berkenaan pernah tular di media sosial pada 2017.

Menurutnya, siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30 hingga 50 kali ganda lebih daripada gula sukrosa.

“Peraturan Makanan 1985 tidak membenarkan penggunaan siklamat dalam buah-buahan segar termasuk yang sudah dikupas atau sedia dimakan,” katanya.

Katanya, semua makanan yang dieksport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya dan sudah menjadi tanggungjawab pihak yang terbabit seperti pengimport, ejen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Dr Noor Hisham berkata, Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983 atau peraturan di bawahnya.

“Sesiapa yang didapati melanggar peruntukan ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna,” katanya.

Menurutnya, sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 12:04 PM