Pengeluar minuman beralkohol jenama ‘Timah’ dilaporkan tidak memohon sebarang khidmat nasihat BKKM. FOTO HIASAN
Pengeluar minuman beralkohol jenama ‘Timah’ dilaporkan tidak memohon sebarang khidmat nasihat BKKM. FOTO HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, syarikat pengeluar minuman beralkohol tempatan jenama 'Timah' tidak memohon sebarang khidmat nasihat label daripadanya.

Malah, BKKM menegaskan tidak memberi apa-apa kelulusan berkaitan pelabelan.

BKKM menjelaskan, ia menawarkan khidmat nasihat pelabelan makanan bagi memastikan label mematuhi peruntukan pelabelan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"BKKM memantau pelabelan makanan berdasarkan peruntukan ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya," katanya dalam satu kenyataan berhubung isu arak 'Timah', hari ini.

Menurut BKKM, Peraturan 18 (1A), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 tidak membenarkan apa-apa perkataan yang menyatakan penggredan, kualiti atau kelebihan atau apa-apa perkataan yang mempunyai maksud sama digunakan sebagai jenama.

"Oleh yang demikian, jenama seperti 'Timah', 'Omar' dan lain-lain tidak menggambarkan penggredan, kualiti atau kelebihan, maka perkara ini tidak tertakluk di bawah Peraturan 18 (1A)," kata BKKM.

Isu arak mengguna pakai jenama 'Timah' menimbulkan kontroversi kerana didakwa tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 8:22 PM