GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Penampang: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat memandangkan negara ketika ini berdepan kebimbangan penularan Covid-19, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Ahli Parlimen Tuaran itu berkata selain bimbang dengan keselamatan pengundi, UPKO berpandangan hal itu juga menyukarkan parti politik untuk menyampaikan mesej kepada pengundi kerana ruang berkempen yang agak terhad.

Beliau berkata penularan Covid-19 menyebabkan orang ramai takut untuk keluar mengundi sekali gus menyebabkan jumlah peratusan keluar mengundi rendah.

"SOP (prosedur operasi standard) berkempen semasa PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka baru-baru ini juga kita dapat lihat parti bertanding tidak dapat cakap atau sampaikan maklumat serta tawaran dengan baik supaya pengundi boleh faham serta membuat pilihan bijak.

"Jumlah mengundi juga rendah, merisaukan kerana kita mahu beri peluang kepada ramai rakyat untuk memilih…tunggu satu tahap yang lebih sesuai (adakan PRU15), MoU (memorandum persefahaman) pun kita ada hingga Julai depan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Luar Biasa UPKO 2021 dan melancarkan aplikasi digital MyUPKO, sebuah aplikasi telefon pintar untuk penyaluran maklumat parti itu di Dewan Kebudayaan di sini.

Ditanya mengenai kerusi akan ditandingi UPKO pada PRU15, Madius berkata sebagai parti komponen Pakatan Harapan (PH) perkara itu akan dibincangan secara bersama dalam gabungan tersebut.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan sebagai berkata PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini berikutan kemasukan pesakit ke hospital semakin meningkat selain kes Covid-19 yang membimbangkan dan kemunculan varian baharu Covid-19 dalam negara.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH ditandatangan pada 13 September lalu antaranya bersetuju Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai 2022 sebagai usaha mencapai kestabilan politik di negara ini bagi memerangi pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 3:09 PM