Saarani. FOTO Arkib Bernama
Saarani. FOTO Arkib Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Semua calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Perak akan menandatangani aku janji sebagai bukti mereka akan kekal setia kepada parti selepas memenangi pemilihan dalam pilihan raya kelak.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sebagai alternatif kepada enakmen peruntukan larangan ahli Dewan lompat parti yang belum terlaksana bahkan belum sempat dibahas di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

"Kita belajar daripada kesilapan semasa tahun 2018 (PRU-14) yang maka, kali ini akan ada aku janji yang perlu ditandatangani oleh calon yang bertanding supaya tidak sewenangnya mudah buat keputusan untuk melompat.

"Jadi, siapa nak jadi calon, kena bersetuju untuk tandatangan. Kalau tak setuju ramai lagi calon nak (dijadikan calon)," katanya kepada pemberita sewaktu sesi temu bual khas Menteri Besar Perak bersama pengamal media sempena PRU-15 di sini, malam tadi.

Saarani berkata demikian ketika ditanya mengenai jaminan bahawa situasi seperti pasca PRU-14 pada 2018 berulang yang menyaksikan berlaku ketidakstabilan dalam kerajaan apabila terdapat beberapa wakil rakyat bertindak meninggal atau melompat parti.

Ia susulan daripada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 atau Akta A1663 mengenai peruntukan undang-undang berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti hanya dikuatkuasakan dan terpakai kepada ahli Parlimen, tidak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 9:28 AM