Datuk Seri Saarani Mohamad menggulung perbahasan Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L. MANIMARAN
Datuk Seri Saarani Mohamad menggulung perbahasan Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L. MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Rang Undang-Undang (RUU) Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Antilompat Parti dilaksanakan di Perak diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Usul pindaan itu dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong sebulat suara oleh ahli Dewan yang hadir pada Persidangan Kelima Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama DUN Perak ke-15 di sini.

"Tujuan pindaan dilaksanakan adalah bagi memastikan Enakmen Antilompat Parti dilaksanakan agar sekata dan selari dengan apa yang sudah diputuskan di Parlimen sebelum ini," katanya ketika menggulung RUU itu, hari ini.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, berkata pindaan itu dilaksana selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang berkuat kuasa pada 5 Oktober lalu.

Akta itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos dan diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 September lalu.

Semalam, Saarani ketika membentangkan usul RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2022 itu bagi bacaan kali pertama dan kedua, berkata terdapat tujuh fasal RUU Enakmen terbabit yang dicadangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 6:57 PM