DR Tan memberi rundingan kepada pesakit berkaitan masalah dihadapi.
DR Tan memberi rundingan kepada pesakit berkaitan masalah dihadapi.
PESAKIT mendapatkan rundingan pakar terbabit.
PESAKIT mendapatkan rundingan pakar terbabit.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Selepas melalui pembedahan di hospital, tempoh penyembuhan kebiasaannya mengambil masa dua ke tiga minggu. Bagaimanapun, jika kesakitan masih dirasai selepas tempoh itu walaupun luka pembedahan sudah sembuh, pesakit mungkin mengalami kesakitan kronik.

Sakit kronik ialah keadaan apabila pesakit merasai kesakitan selepas pembedahan, kecederaan atau penyakit walaupun sudah dirawat dan keadaan fizikal dilihat sudah sembuh.

Sakit kronik berlarutan melebihi tiga bulan yang sepatutnya kesakitan sudah tiada. Selepas semua keadaan sudah pulih atau tiada sebarang masalah berkaitan pembedahan dan kecederaan yang dialami, doktor yang merawat akan menilai keperluan mereka dirujuk ke Klinik Anestetik dan Pengurusan Kesakitan.

Sakit kronik tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjejaskan emosi, pekerjaan dan kehidupan sosial pesakit malah berupaya mengundang masalah psikologi.

Di negara ini, berdasarkan statisitik Tinjauan Mobiditi Kesihatan Malaysia 2015, tujuh peratus daripada populasi penduduk mengalami kesakitan kronik.

Pakar Anestesiologi dan Rawatan Kesakitan Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Tan Hung Ling berkata, dengan ubat dan teknik moden, hampir semua kesakitan daripada kanser dan bukan kanser dapat dirawat dengan berkesan.

Menurutnya, apa perlu pesakit lakukan adalah bertemu pakar dalam bidang berkenaan. Objektif utama rawatan kesakitan kronik adalah melegakan kesakitan sebanyak mungkin dan mengembalikan fungsi pesakit dalam kehidupannya.

Klinik itu menempatkan kepakaran multi disiplin terdiri daripada pelbagai cabang perubatan seperti pakar anestesia dan rawatan kesakitan, ahli farmasi, ahli fisioterapi, ahli jurupulih kerja dan ahli psikologi di bawah satu klinik.

“Klinik ini sebagai pusat sehenti yang memudahkan pesakit misalnya mereka tidak perlu pergi ke pelbagai tempat manakala dalam satu masa rawatan mereka boleh bertemu semua pakar bidang berbeza,

“Rawatan di klinik ini berdasarkan rujukan daripada klinik lain seperti klinik kesihatan, ortopedik dan pembedahan. Kadangkala selepas pembedahan menukar sendi lutut, ada pesakit mengalami kesakitan walaupun sudah sembuh.

“Ada juga pesakit selepas kaki mereka dipotong, boleh wujud keadaan sakit kaki ‘phantom’ iaitu kaki sudah tiada, tapi pesakit masih berasakan kaki itu wujud dan sangat sakit. Ramai pesakit tidak faham mengapa mereka masih sakit walaupun sudah disahkan sembuh daripada penyakit atau luka.

“Akibatnya, mereka mungkin mengalami tekanan perasaan kerana pada pandangan mata kasar mereka sudah sembuh, namun kesakitan itu menjejaskan kehidupan dan kerjaya mereka,” katanya.

Pendekatan pelbagai disiplin

Dr Tan berkata, kesakitan akut senang difahami iaitu apabila ada kecederaan pada anggota badan, contohnya selepas pembedahan, kemalangan, kepatahan tulang atau mana-mana kecederaan dan ia satu mekanisme pertahanan badan yang membolehkan badan cepat sembuh.

Namun katanya, kesakitan kronik sukar difahami kerana walaupun tempat pembedahan sembuh atau kesan kecederaan sudah tidak ketara, kesakitannya ada dan berlarutan.

“Dulu ramai tidak faham dan menganggap kesakitan itu dibuat-buat atau pesakit mengada-ngada, meracau kerana ada masalah psikologi. Sakit kronik kelihatan ‘OK’ dari luaran tapi apabila pesakit mengadu kesakitan, ramai yang tidak faham justeru ia menyebabkan masalah bersosial dan psikologi.

“Sebab itu bukan hanya seorang doktor saja yang merawat, apabila diberikan ubat dan tidak sembuh pesakit perlukan pendekatan multi disiplin termasuk ahli psikologi. Ini kerana apabila sakit, ia boleh menyebabkan masalah kemurungan dan daripada kemurungan pula, ia boleh menyebabkan sakit lebih teruk.

“Kadangkala apabila gelisah atau tertekan, sakit yang sedikit juga mungkin boleh jadi lebih teruk,” katanya.

Katanya, pesakit yang menjalani pembedahan perlu dirawat seawal mungkin terutama dari peringkat akut sendiri.

Dari segi anestesia, sudah ada cara rawatan untuk mengurangkan sakit melalui ubatan malah sebelum, semasa dan selepas pembedahan.

“Sekiranya pesakit mengalami kesakitan sebelum pembedahan, kami memberikan ubat tahan sakit kepada mereka, kami perlu mengawal sakit itu terlebih dulu sebelum pembedahan.

“Semasa pembedahan walaupun pesakit tidak sedarkan diri, kami juga memberikan ubat tahan sakit. Sekarang ada banyak kaedah anestasia baru iaitu kita boleh memberikan ubat bius pada saraf. Dengan kaedah teknologi baru seperti ultrabunyi, ia membolehkan saluran plastik atau kateter diletakkan berdekatan saraf manakala ubat bius dengan dos yang sangat rendah boleh diberi kepada pesakit, jadi selepas pembedahan tempat itu akan terasa kurang sakit.

“Kebiasaannya selepas beberapa hari, sakit akan jadi semakin kurang kerana badan akan cuba merawat diri sendiri hingga sakit berkurangan tiga hari ke seminggu, jadi proses penyembuhan dapat dipercepatkan.

“Klinik ini bukan untuk menghilangkan sakit tapi lebih kepada menguruskan kesakitan. Jika sakit, kami cuba memberikan ubat untuk mengurangkan sakit dengan ubat yang kurang memberi kesan pada buah pinggang dan perut. Ini kerana ada ubat yang dibeli sendiri pesakit dan diambil dalam tempoh lama boleh merosakkan buah pinggang dan perut.

“Kami akan menentukan ubat yang sesuai untuknya berdasarkan keadaan dan akan cuba mengurangkan sakit seberapa banyak yang boleh selain menggalakkan pesakit menangani kesakitan.

“Kami juga mengajar senaman yang betul dan walaupun sakit ada, mereka boleh membuat kerja. Pesakit juga diajar mengubah suai tempat kerja serta cara tidur, bekerja dan berkomunikasi dengan ahli keluarga, kerana banyak perkara akan berubah dalam hidup mereka,” katanya.

Kenapa perlu merawat kesakitan kronik?

Sakit ialah kesengsaraan emosi dan tubuh badan (somatik) yang menyeksakan. Kesakitan kronik tidak membunuh, tetapi ia membunuh kehidupan anda.

Ia merebak dan menyekat pesakit daripada bergerak bebas. Anda tidak dapat bekerja dan produktiviti menurun. Anda tidak dapat tidur lena dan ini meletihkan. Anda tidak dapat berfungsi pada diri dan keluarga dan akhirnya membawa kepada kemurungan.

Merawat kesakitan akut dan kronik ialah satu etika perubatan dan juga hak asasi pesakit yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh doktor.

Negara membangun seperti Malaysia banyak menitikberatkan mutu kehidupan untuk menjamin keselesaan dan produktiviti berkekalan. Rawatan kesakitan kronik memberi keselesaan dan menjamin produktiviti apabila sakit tidak lagi menjadi penghalang daripada bekerja.

Malah, kesakitan kini diiktiraf sebagai ‘tanda utama kelima’ iaitu satu daripada ukuran asas paling penting setiap pesakit apabila berjumpa doktor, selain tekanan darah, suhu badan, kadar nadi dan kadar pernafasan.

Doktor mengukur tahap kesakitan dengan satu kad VAS (skala analog visual) iaitu pesakit dikehendaki menunjukkan skor kesakitan bermula dari 0 hingga 10.

Kosong bermakna tiada kesakitan manakala ‘10’ ialah kesakitan tahap maksimum yang tidak mampu bertahan. Teknik ini sudah lama diguna pakai di Australia, Amerika dan Singapura.

Apa yang dapat dilakukan pakar?

1. Menilai semula punca sakit kronik anda dengan tepat dan menyeluruh.

2. Membuat penilaian mengenai kesan atau impak sakit kronik pada kehidupan dari aspek biopsikososial.

3. Merangka strategi bersepadu untuk melegakan kesakitan dan mengembalikan fungsi anda.

4. Memberi rawatan ubat yang pelbagai.

5. Dapat melakukan kaed ah [intervensi kesakitan’ iaitu kaedah suntikan khusus yang dapat mengawal tahap kesakitan seperti teknik epidural, neurolisis, radiofrekuensi dan akupuntur.

6. Membimbing anda mengembalikan kehidupan harian, bersosial dan kembali bekerja melalui aktiviti fizikal dalam bentuk senaman, teknik rehat dan terapi kognitif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 5:30 AM