Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Cemburu dipercayai menjadi motif seorang lelaki warga emas maut dipukul di Jalan Pasar, Pudu di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan dari petugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memaklumkan pihaknya menerima seorang lelaki berusia 70 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri sebagai pesakit pada 11.55 malam, Sabtu lalu.

"Hasil pemeriksaan awal dilakukan mendapati lelaki berkenaan mengalami kecederaan di muka serta dada dan dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia pada 2.55 petang, semalam. Siasatan dilakukan mendapati mangsa ditemuikan terbaring dan tidak sedarkan diri di kaki lima sebuah premis di Jalan Pasar.

"Siasatan dijalankan di lokasi kejadian mendapati lelaki berkenaan dipercayai dipukul pada 2 pagi, Sabtu lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, susulan itu, pihaknya menahan dua wanita warga asing masing-masing berusia 45 dan 49 tahun dalam serbuan antara 3.45 petang hingga 8.43 malam tadi.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 6 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Pihak polis memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 7:59 PM