ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan Operasi Pusat Hiburan di sebuah premis di Jalan Loke Yew. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan Operasi Pusat Hiburan di sebuah premis di Jalan Loke Yew. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 47 individu dikenakan kompaun berjumlah RM47,000 dalam serbuan Operasi Pusat Hiburan di sebuah premis di Jalan Loke Yew, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di premis berkenaan yang didapati beroperasi dalam tempoh Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pada 12.30 tengah malam tadi.

"Dalam serbuan itu, seramai 47 individu terdiri daripada 44 warga tempatan termasuk empat wanita serta dua wanita dan seorang lelaki warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun yang berada di dalam premis berkenaan diperiksa.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap semua individu terbabit mendapati 39 daripadanya positif dadah amphetamine dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, semua individu yang didapati positif dadah berkenaan direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini untuk tindakan lanjut.

"Selain itu, semua 47 individu berkenaan dikenakan kompaun berjumlah RM47,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Tindakan itu dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai di daerah ini supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah dan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-221159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 8:16 PM