MUZIUM Warisan Melayu. FOTO ihsan FBMK
MUZIUM Warisan Melayu. FOTO ihsan FBMK

Serdang: Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengadakan program 'A Night@Museum' di Muzium Warisan Melayu, FBMK bagi memberi peluang kepada pemimpin pelajar merasai pengalaman bermalam di muzium.

Program yang diadakan pada 5 hingga 6 November ini membabitkan barisan pemimpin pelajar terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM kampus Serdang dan Bintulu.

FBMK dalam kenyataan berkata, objektif program adalah untuk menyuntik semangat menghargai warisan dan artifak serta sejarah dalam kalangan pemimpin pelajar UPM.

"Ia juga menyediakan medium latihan untuk membentuk perwatakan dalam komunikasi dan penyampaian persuasif kepada audiens serta membantu meningkatkan teknik retorik yang berkesan melalui modul pembelajaran yang disediakan," katanya.

Antara pengisian program itu ialah slot Terokai Warisan di Muzium; Permainan Tradisional; Kepimpinan Putra; Retorik Putra; Memburu Warisan Sejarah; Praktikal Retorik Putra dan kemuncaknya adalah slot 'A Night @ Museum' iaitu kesemua peserta akan bermalam di Muzium Warisan Melayu.

Kenyataan itu berkata, dua penceramah ditampilkan iaitu Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, Prof Datuk Dr Abdul Mua'ti@Zamri Ahmad dan Timbalan Dekan Penyelidikan, Jaringan Industri dan Masyarakat FBMK, Prof Madya Dr Akmar Hayati Ahmad Ghazali untuk perkongsian berkaitan ilmu atau kemahiran dalam bidang retorik.

"Retorik merujuk kepada teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Pada slot ini, pemimpin pelajar akan diberikan pendedahan dan latihan pembentukan perwatakan dalam komunikasi serta penyampaian yang persuasif kepada audiens.

"Ia membantu meningkatkan penguasaan teknik retorik yang berkesan melalui modul pembelajaran yang disediakan oleh pakar bidang ini," katanya.

Pada slot malamnya, program akan dihadiri Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman, Dekan FBMK Prof Madya Dr Hazlina Abd Halim, ahli-ahli pengurusan FBMK serta pensyarah FBMK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 2:58 PM