ANTARA program yang dianjurkan FBMK membabitkan pelajar sekolah. FOTO ihsan FBMK
ANTARA program yang dianjurkan FBMK membabitkan pelajar sekolah. FOTO ihsan FBMK

Serdang: Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan program 'Pemantapan Lisan Bahasa Perancis Melalui Aktiviti Bicara Berirama' pada 8 hingga 10 November ini.

Program membabitkan kerjasama dengan Sekolah Alam Shah (SAS) Wilayah Persekutuan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 (SMKSYP1) Kuala Krai, Kelantan itu bertempat di FBMK, UPM.

Program Khidmat Komuniti (CSR) membabitkan masing-masing seramai 40 pelajar dari SAS Wilayah Persekutuan dan SMKSYP1 Kuala Krai bersama dua guru pengiring, selain pegawai FBMK.

Ketua Program, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, objektif utama program ialah mengukuhkan kemahiran lisan pelajar dalam bahasa Perancis.

"Selain itu, kemahiran insaniah juga diterapkan melalui pendedahan kepada aktiviti kebudayaan Perancis seperti tayangan filem, persembahan nyanyian dan aktiviti berkaitan. Program ini diharap dapat membuka minda kepada pelajar untuk memperoleh pengajaran dan pembelajaran serta menerapkan nilai insaniah yang dipelajari dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau berkata, program CSR itu mendapat tajaan Kedutaan Perancis di Malaysia dan ia diharapkan memberi impak penambahan pengetahuan kepada pelajar mengenai kemahiran bertutur dalam bahasa Perancis secara santai dan menyeronokkan.

"Aktiviti dibuat dalam bentuk lakonan, permainan dan nyanyian, serta pada masa sama menerapkan nilai-nilai murni untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

"Ia juga dapat mendedahkan pelajar mengenai kebudayaan Perancis dan melatih pelajar UPM terutamanya dalam bidang pengurusan mengendalikan sesebuah program, sama ada di peringkat universiti

mahupun di peringkat luar," katanya.

Menurutnya, program itu juga menampilkan beberapa tambahan aktiviti lain seperti pembabitan pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian siswazah di FBMK.

"Dijangkakan mereka akan menyediakan beberapa sajian makanan tradisi negara asal masing-masing kepada semua peserta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 11:07 AM