SURINA
SURINA
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus komited meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia bagi merebut peluang dalam ekonomi digital dan bergerak seiring dengan pelan pemulihan ekonomi negara menerusi Gerakan #SayaDigital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, mengikut kajian terbaharu MDEC, ketika ini terdapat 47,000 peluang pekerjaan digital diiklankan di portal mencari kerja utama di Malaysia.

Katanya, ini menunjukkan pasaran kerja berkemahiran digital negara kekal kompetetif pada waktu yang mencabar ini, sekali gus memberi petanda pertumbuhan ekonomi digital negara dan pelancaran #SayaDigital tepat pada masanya.

"Menerusi #SayaDigital, golongan sasaran ini (B40, belia, warga emas serta komuniti rentan sosio ekonomi) akan diajar modul meningkatkan kemahiran digital dan menyertai pelbagai program utama kendalian MDEC supaya celik digital serta berupaya menyertai dan mengambil peluang dalam ekonomi digital.

"Gerakan #SayaDigital tahun ini memberi fokus kepada empat komponen iaitu melatih anak muda menjadi sukarelawan Geng #SayaDigital, mewujudkan kesedaran melalui aktiviti literasi digital, menjalankan penilaian kesediaan digital dan memberi latihan kemahiran asas digital kepada komuniti.

"Peserta akan menjawab Penilaian Kesediaan Digital untuk mengukur tahap literasi digital dan keputusan ujian berkenaan akan menentukan peringkat Modul Pembelajaran Literasi Digital Asas yang perlu dipelajari.

"Program ini merangkumi tiga modul utama iaitu komunikasi digital, perbankan internet dan e-dompet dan aplikasi perkhidmatan digital yang turut digunakan negara lain," katanya.

Menurutnya, MDEC juga berusaha menerapkan ciri digital dan memainkan peranan menerusi inisiatifnya dalam menjayakan sasaran untuk 875,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro menerusi MyDigital dan seterusnya menjadi pemangkin untuk 5,000 syarikat pemula.

Surina berkata, #SayaDigital tidak meminggirkan mana-mana golongan selari dengan hasrat kerajaan, malah program yang memayungi inisiatif ini boleh dimanfaatkan rakyat pelbagai lapisan.

"Sebagai contoh, menerusi inisiatif Institut Teknologi Digital Premier (PDTI), ia memanfaatkan lebih 30,000 pelajar universiti dan politeknik menerusi penyertaan 11 universiti dan lima politeknik terbabit.

"Ia turut memanfaatkan 593 pensyarah turut menerima latihan, manakala kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95 peratus.

"Melalui Glow–Penjana seramai 85 000 peserta dilatih dan sebanyak 54,000 berjaya menjana pendapatan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM232 juta dan program eRezeki pula memperkasa golongan B40 dan M40 menyaksikan pendaftaran sebanyak 464,244 peserta dengan 268,822 peserta dilatih dengan pendapatan diraih peserta mencecah RM1.3 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:00 AM