MUHYIDDIN menyampaikan ucapan perasmian secara maya pada Majlis Pelancaran #SayaDigital di Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN menyampaikan ucapan perasmian secara maya pada Majlis Pelancaran #SayaDigital di Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang hari ini. FOTO Bernama
Shamran Sarahan


Kuala Lumpur: Inisiatif literasi digital, Gerakan #SayaDigital Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan hari ini diharap memainkan peranan penting membantu rakyat dan perniagaan kecil yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyambut baik inisiatif itu sebagai nilai tambah bagi menjayakan komitmen negara melalui Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Beliau berkata, gerakan yang dianjurkan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) itu dapat mempertingkat dan menambah baik literasi digital dalam kalangan masyarakat sebagai kesinambungan daripada inisiatif MyDigital bagi mempercepatkan pertumbuhan digital negara.

Katanya, ia dapat direalisasikan memandangkan inisiatif #SayaDigital menyasarkan kumpulan sosial ekonomi yang lebih berfokus menerusi pelbagai program, seminar dan skim latihan sejak Ogos lalu.

"Ini termasuklah latihan literasi digital asas dan seminar perniagaan secara maya, bertujuan membantu masyarakat menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan melalui eRezeki.

"Bagi mempergiatkan lagi inisiatif ini, usaha ini akan diteruskan di pelbagai lokasi sesi outreach dengan kerjasama Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pusat Internet Komuniti sehingga akhir tahun ini dengan sasaran 10,000 pendaftaran di seluruh negara.

"Saya turut difahamkan pasukan #SayaDigital juga turun ke beberapa kawasan PPR untuk mendedahkan masyarakat setempat dengan pelbagai kemahiran digital selain turut mengadakan acara di perkampungan Orang Asli di Bukit Lanjan.

"Ini satu bukti manifestasi komitmen kerajaan yang mahukan semua lapisan masyarakat menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran negara secara adil dan saksama," katanya ketika berucap secara maya sempena Majlis Pelancaran Gerakan #SayaDigital peringkat kebangsaan di PPR Hiliran Ampang, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menerusi teks yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengenai Gerakan #SayaDigital, ia adalah strategi MDEC dalam menyokong MyDigital yang menyasarkan untuk mencipta 500,000 peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi digital menjelang 2030 dengan MDEC sokongan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Pusat Internet Komuniti dan Desa.

Gerakan ini diharapkan dapat meningkatkan kemahiran digital rakyat bagi merebut peluang dalam ekonomi digital dan bergerak seiring dengan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang berlangsung.

Program dirangka menyasarkan pembabitan golongan B40, belia dan warga emas melalui tiga program rintis fizikal untuk meningkatkan kesedaran celik digital menerusi penyertaan 301 peserta dengan yang terbaru diadakan di Kampung Desa Temuan di Bukit Lanjan pada penghujung Mac lalu.

Usaha ini secara keseluruhan menyasarkan untuk memanfaatkan 10,000 rakyat di kawasan sosio ekonomi rentan yang dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 2:32 PM