ROSOL (tengah) beramah mesra bersama  penerima sumbangan pada Majlis Ramah Mesra Program Food Bank Malaysia Bersama Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Terengganu di Dewan Perdana, UniSZA Gong Badak hari ini. FOTO Bernama.
ROSOL (tengah) beramah mesra bersama penerima sumbangan pada Majlis Ramah Mesra Program Food Bank Malaysia Bersama Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Terengganu di Dewan Perdana, UniSZA Gong Badak hari ini. FOTO Bernama.
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Sebanyak lima syarikat diberi tempoh sehingga 19 Disember depan untuk mengemukakan segala bukti kukuh yang mereka tidak terbabit dalam isu kartel ayam di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, lima syarikat terbabit disiasat di bawah Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan MyCC sudah menyiasat terhadap lima syarikat terbabit dari Pantai Barat dan wujud berlakunya kartel ayam.

"Hasil siasatan yang dibuat MyCC, mereka dapati lima syarikat ini dipercayai terbabit dengan kartel ayam dan mereka memohon diberi masa untuk mengemukakan representasi menafikan kegiatan mereka.

"Jadi, MyCC memberi tempoh kepada mereka sehingga 19 Disember depan untuk mengemukakan segala bukti bagi menepis dakwaan terhadap mereka," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup program "CA2010@University" bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan sesi Dialog serta ramah mesra program Food Bank Malaysia bersama mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Perdana UniSZA, di sini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, Prof Madya Datuk Dr Mohd Hafiz Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dan Ketua Pusat Kebudayaan dan Kesenian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Badruhisham Darus.

Rosol berkata, pihaknya memberi masa hampir dua bulan kepada syarikat terbabit dan sama ada mereka terbukti bersalah atau tidak akan ditentukan atas penilaian bukti yang mereka kemukakan nanti.

"Kita tunggu bukti yang dikemukakan kepada MyCC. Kita sebenarnya bimbang apabila wujudnya kartel ini, ia sekaligus akan membabitkan manipulasi harga ayam di negara ini selain itu juga mereka akan berpakat bagi menentukan harga jadi meningkat," katanya.

Sementara itu, mengulas program berkenaan, Rosol berkata pihaknya dimaklumkan program ini julung kali diadakan di UniSZA untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar universiti mengenai undang-undang persaingan dan MyCC sebagai agensi di bawah KPDNHEP.

Menurutnya, MyCC bercadang menjalin hubungan rapat bersama UniSZA memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerjasama dalam menggalakkan pelaksanaan undang-undang persaingan lebih berkesan terutama aktiviti yang membabitkan pendidikan dan penyelidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 7:42 PM