ARMIZAN (dua kiri) ketika merasmikan Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ARMIZAN (dua kiri) ketika merasmikan Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menambah pegawai penyiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menangani isu berkaitan kartel di negara ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penambahan itu penting bagi membantu kerajaan memantau isu-isu berkaitan kartel seperti penipuan dalam bidaan dan ketirisan projek yang ditender.

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan industri atau syarikat yang berkaitan tidak berpakat untuk menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.

"Kapasiti kita amat terhad sebelum ini... hanya 17 pegawai penyiasat di MyCC dan sebenarnya untuk memperkasakan lagi pemantauan dan penguatkuasaan dalam aspek kartel, agensi yang paling berkaitan sebenarnya adalah MyCC.

"Jadi dengan adanya tambahan peruntukan RM10 juta itu, antara fokus utama kita adalah untuk menambah bilangan pegawai penyiasat dan latihan-latihan untuk meningkatkan kompetensi pegawai-pegawai penyiasat dan risikan untuk menangani isu-isu yang berbangkit," katanya.

Armizan berkata demikian ketika ditemui selepas Program Perasmian Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.

Beliau berkata, selain menambah bilangan pegawai penyiasat MyCC, peruntukan sebanyak RM10 juta itu penting untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 untuk memperkukuhkan kerangka perundangan dalam menyelesaikan isu berbangkit berkaitan kartel.

"Antara perkara paling penting dalam Akta Persaingan 2010 ini adalah untuk mewujudkan ekosistem dan perdagangan ekonomi yang sihat untuk kita mewujudkan proses persaingan itu di kawal dengan sihat," katanya.

Semalam, KPDN dan MyCC diberikan peruntukan RM10 juta untuk membantu mengukuhkan pelaksanaan subsidi bersasar dirancang kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gejala kartel dan pakat harga yang menyebabkan kenaikan harga berlebihan dan tidak terkawal bertentangan dengan prinsip Madani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 12:17 PM