ISKANDAR (kanan) pada sidang media bersama Hannah, hari ini. FOTO BERNAMA
ISKANDAR (kanan) pada sidang media bersama Hannah, hari ini. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Hukuman berat denda sehingga jutaan ringgit selain berisiko disenarai hitam akan dikenakan kepada syarikat yang melakukan kartel penipuan bidaan perolehan kerajaan khususnya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Amaran itu diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail selepas pihaknya kini diberi tanggungjawab untuk meneliti bidaan yang diragui dalam usaha KBS untuk memastikan tadbir urus dan tatakelola kewangan yang telus.

"Kita akan lihat kepada keuntungan syarikat yang terbabit dengan mengambil 10 peratus daripada modal mereka.

"Contohnya kalau mereka mendapat perolehan RM10 juta daripada tender itu, kami akan ambil RM1 juta (sebagai denda).

"Kami boleh kenakan perkara lain untuk memberhentikan perlakuan kartel termasuk menyarankan kepada MOF (Kementerian Kewangan) agar syarikat terbabit disenarai hitamkan supaya mereka tidak boleh masuk tender selama beberapa tahun," katanya pada sidang media kerjasama KBS dengan MYCC, hari ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pihaknya memberi perhatian serius mengenai isu kartel penipuan bidaan dalam perolehan kerajaan dan akan melaporkan kepada MyCC sekiranya terdapat tanda-tanda menjurus kepada kegiatan tidak sihat itu.

"Sehubungan itu, tawaran daripada syarikat/kontraktor yang menyertai tender serta sebut harga akan diteliti bukan sahaja dalam aspek teknikal dan kewangan, tetapi bebas daripada kartel penipuan bidaan.

"Pihak KBS ingin mengingatkan pihak syarikat/kontraktor supaya membuat pengisytiharan 'non-collusion' dan tidak terlibat dalam sebarang pakatan harga semasa menyertai mana-mana perolehan di KBS.

"Menjadi tanggungjawab KBS khususnya pegawai terlibat untuk memastikan urusan perolehan kerajaan dilaksanakan berdasarkan amalan tadbir urus yang baik dengan mematuhi prinsip perolehan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 5:56 PM