Zaid Salim


Kuala Terengganu: Cuaca yang tidak menentu tidak menjejaskan bekalan sayur dan ikan apabila keperluan berkenaan mudah diperoleh di pasar utama pada harga stabil di daerah ini.

Bagaimanapun, berlaku turun naik harga antara RM1 hingga RM2 pada beberapa jenis sayuran tertentu dan ikan berdasarkan jumlah bekalan.

Harga yang tidak konsisten itu dikatakan tidak membebankan pengguna yang mengharapkan bekalan bahan berkenaan boleh didapati di pasaran.

Pengguna, Erni Rosmida Suhaimi, 26, berkata perubahan harga adalah perkara biasa yang berlaku pada musim tengkujuh.

"Turun naik harga bergantung kepada bekalan dan setakat ini saya dapati bekalan masih ada cuma dalam jumlah yang tidak menentu.

"Sebagai contoh ikan, jika banyak di pasaran bermakna harga secara tidak langsung turun sedikit.

"Tetapi apabila masuk bulan November nanti kemungkinan ikan dan sayur mengalami kenaikan harga mendadak kerana laut bergelora dan dan dijangka banjir berlaku pada ketika itu," katanya ketika ditemui di Pasar Chabang Tiga, di sini, hari ini.

MOHD Dzul Faizal Mazlan melihat ikan keli yang dipindahkan ke Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MOHD Dzul Faizal Mazlan melihat ikan keli yang dipindahkan ke Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.

Tinjauan di pasar berkenaan, mendapati ayur daun dan buah mengalami kenaikan harga seperti Sawi Siam RM7 sekilogram (kg) berbanding minggu lalu RM6, Sawi Kampung RM8 (minggu lalu RM7) dan Bunga Kobis RM16 (minggu lalu RM14).

Harga pasaran bagi cili api masih tinggi iaitu RM20 bagi cili api Vietnam dan RM14 bagi cili api Thailand, naik sebanyak RM2 berbanding minggu lalu manakala lada besar naik RM3 iaitu daripada RM13 minggu lalu kepada RM16 bagi setiap kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 5:18 PM