PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP negeri memantau penjualan sayur di Pasar Cabang Tiga, hari ini. FOTO Baharom Bakar
PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP negeri memantau penjualan sayur di Pasar Cabang Tiga, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kenaikan harga sayur-sayuran sehingga 50 peratus di negeri ini dikatakan turut berpunca berikutan faktor cuaca sehingga berlakunya kekurangan bekalan.

Kenaikan harga pelbagai jenis sayur itu bukan hanya berlaku di peringkat pemborong, malah turut memberi kesan kepada pengguna.

Peniaga Mariah Mamat, 49, berkata, peningkatan mendadak harga sayuran berlaku sejak awal bulan ini, terutama bagi kubis bunga dan brokoli.

"Harga kubis bunga yang diperoleh daripada pemborong sebelum ini RM11 dan RM12 sekilogram, tetapi meningkat kepada RM18 sekilogram.

"Sama juga dengan brokoli, harga daripada pemborong sebelum ini sekitar RM12 sekilogram dan kini harga melambung sehingga RM18 sekilogram. Jadi kami terpaksa jual RM20 sekilogram," katanya ketika ditemui di Pasar Chabang Tiga, di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan harga di Pasar Chabang Tiga dan beberapa pasar utama mendapati kebanyakannya meningkat antaranya sawi manis (RM10), kubis bunga (RM15), brokoli (RM17) sawi panjang kampung (RM6), kacang buncis (RM16), cili besar merah (RM16), cili besar hijau (RM16) dan salad (RM20).

Peniaga Zulkifli Ali, 30, berkata, peningkatan harga sayur berlaku disebabkan faktor cuaca menyebabkan bekalan makanan itu terhad.

Katanya, biasanya pada hujung tahun harga sayur akan naik kerana pekebun tidak boleh menanam sayur disebabkan keadaan cuaca.

"Kenaikan harga sayur sehingga 50 peratus menjadi rungutan pelanggan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Nurul Essa Fazira Ariff, 27, berkata, harga kebanyakan sayuran yang dijual meningkat 50 peratus berpunca dari kesukaran untuk mendapatkan bekalan.

"Kita berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan bagi mengelakkan ada antara peniaga menaikkan harga jualan secara berlebihan," katanya.

Sementara itu, wakil pemborong, Mamat Embong, 68, berkata, kenaikan harga hanya membabitkan beberapa jenis sayur antaranya salad, kubis bunga dan brokoli.

"Kenaikan harga sayur bergantung kepada bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 4:50 PM