Zaid Salim

Kuala Terengganu: Harga sayur-sayuran di negeri ini terus meningkat dalam tempoh seminggu sekali gus menimbulkan keresahan di kalangan peniaga apabila terpaksa meletakkan harga tinggi.

Antara sayuran mengalami kenaikan harga termasuk bunga kobis, brokoli, lobak merah, cili api Vietnam dan Thailand, timun kampung, salad daun, tomato, kangkung, daun bawang dan kailan.

Peniaga, Norhazana Harun, 38, berkata kenaikan harga bermula akhir Oktober lalu dan berterusan sehingga kini.

"Sebelum ini saya hanya mengeluarkan modal sebanyak RM1,500 sahaja untuk membeli barangan (sayur), namun kini dengan harga sayur yang tinggi, saya terpaksa mengeluarkan modal antara RM2,500 hingga RM3,000 setiap hari," katanya yang sudah lebih 20 tahun berniaga di Pasar Chabang Tiga, di sini.

Katanya, antara sayur paling ketara berlaku kenaikan harga adalah tomato, lobak merah, timun kampung, bunga kobis dan brokoli.

NORHAZANA menyusun sayuran digerainya di Pasar Chabang Tiga. FOTO Zaid Salim
NORHAZANA menyusun sayuran digerainya di Pasar Chabang Tiga. FOTO Zaid Salim

"Kalau Sabtu lalu, tomato berharga RM40 untuk lima kilogram (kg), tetapi hari ini RM50 per/kg, timun kampung minggu lalu RM35 satu beg plastik, hari ini RM50, bendi daripada RM7, hari ini RM12 per/kg.

"Cili api Vietnam RM22 per/kg berbanding minggu lalu RM20 per/kg. Rata-rata peniaga hanya mendapat untung antara 50 sen hingga RM2 sahaja," katanya.

Menurutnya, selain kos baja dan cuaca, harga sayur meningkat naik juga disebabkan kos pengangkutan berikutan terdapat beberapa jenis sayur yang diimport daripada luar negara.

Katanya, bunga kobis diimport dari China, brokoli dari Australia dan cili api pula ada dari Vietnam dan Thailand.

"Saya bernasib baik kerana memiliki pelanggan tetap dari kalangan peniaga kedai makan dan restoran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 4:33 PM