Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Bagan Datuk: Barisan Nasional (BN) yakin mampu memenangi sekurang-kurangnya 12 daripada keseluruhan 24 kerusi parlimen yang ada di Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan 12 kerusi parlimen dari Perak cukup penting bagi menyumbang kepada kedudukan dominan BN di Parlimen.

Katanya, dengan empat gabungan parti politik di Semenanjung iaitu BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), dan Gerakan Tanah Air (GTA); pihaknya menjangkakan majoriti calon yang diletakkan perlu menghadapi pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru.

"Biarpun sudah banyak (gabungan) parti untuk menyaingi BN, Insya Allah BN akan meraih paling banyak kerusi sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun parlimen di Perak ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan ahli jentera BN dalam Majlis Solidariti Kestabilan & Kemakmuran Negeri Perak di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

ISMAIL Sabri (lima, kiri) menyaksikan Ahmad Zahid menerima Watikah Ikrar Umno dari Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri (lima, kiri) menyaksikan Ahmad Zahid menerima Watikah Ikrar Umno dari Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. FOTO Bernama.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, BN bukan sahaja perlu menang pada PRU-15 tetapi menjadi dominan bagi memastikan pentadbiran kerajaan selepas ini lebih kukuh dan stabil dengan memenangi sekurang-kurangnya 80 kerusi parlimen.

"Memang benar saya Perdana Menteri namun dalam Parlimen kerajaan kerusi kita (BN) tak cukup. Walaupun saya jadi Perdana Menteri tetapi setiap masa kita tertanya-tanya kalau (ada) mereka tarik (sokongan) lima orang (anggota parlimen), maka kita tumbang.

"Jadi pada PRU-15 pastikan kita jadi parti dominan. Kali ini, kita kena menguasai kabinet sepenuhnya dengan sekurang-kurangnya 80 kerusi. Barulah kita kuat, baru orang nak dengar cakap kita," katanya.

Ismail Sabri berkata, selain perlu menjawab semua isu yang dimainkan oleh pembangkang, ahli khususnya jentera BN perlu juga bertindak menyerang menggunakan isu berbangkit yang terpalit dengan pentadbiran Pakatan Harapan.

Beliau memberi contoh antara isu terbabit yang dianggap sebagai 'peluru' bagi menghentam pembangkang adalah laporan siasatan ke atas dakwaan menerusi buku ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, selain mengenai isu Pulau Batu Puteh dan isu Pengampunan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 8:03 PM