ABDUL Rahman (dua dari kanan), Dr Mohd Roslan (kiri) dan Syaiful Rizal (Kanan) ketika majlis ringkas penyerahan sumbangan YBR. FOTO Ihsan YBR
ABDUL Rahman (dua dari kanan), Dr Mohd Roslan (kiri) dan Syaiful Rizal (Kanan) ketika majlis ringkas penyerahan sumbangan YBR. FOTO Ihsan YBR
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 100 penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada golongan B40 akan menerima bantuan awal pengajian sebanyak RM1,000 seorang.

Bantuan sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) itu menyediakan dana RM100,000 untuk pelajar kurang mampu.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, bantuan ini dapat membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung penuntut dan keluarga mereka dalam memulakan pengajian bagi semester yang baru sahaja bermula.

"Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi membuat persediaan kemasukan sesi pengajian yang baru sahaja bermula," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketika majlis ringkas penyerahan sumbangan itu, Abdul Rahman menyerahkan replika cek RM100,000 kepada UPM yang diwakili Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Turut hadir Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Bahagian Operasi YBR Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata, Projek SIR Corner (Serambi Ilmu Rakyat ) yang dilancarkan hari ini juga adalah insiatif YBR menyediakan ruang selesa dilengkapi dengan peralatan komputer bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan bacaan digital SIR yang sesuai dengan penuntut.

"Projek ini adalah kolaborasi bersama 18 Institut Pengajian Tinggi terpilih di seluruh Malaysia yang membabitkan peruntukan sebanyak RM270,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 6:46 PM