GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri Semenanjung dan Sabah, petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca tidak menentu itu dijangka berlaku sehingga 7 malam ini.

Menurutnya, negeri yang terbabit antaranya Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap), Pahang (Raub, Bentong, Temerloh dan Bera) dan Selangor (Hulu Langat).

Selain itu, katanya, keadaan sama dijangka berlaku di Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol) selain Sabah (Sandakan, Telupid dan Beluran).

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.

"Ribut petir pula adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai di kawasan terbabit lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi dan talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 4:52 PM