GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Semenanjung.

Situasi itu dijangka melanda di Selangor, Kuala Lumpur, Wilayah Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Di Selangor kawasan amaran adalah membabitkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang, manakala Negeri Sembilan membabitkan sekitar Seremban dan Port Dickson.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir pula adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," kata jabatan itu.

Sementara itu, MetMalaysia turut melaporkan gempa bumi sederhana sudah berlaku di Semenanjung Minahassa, Sulawesi pada 9.42 pagi tadi.

Gempa bumi bermagnitud 5.3 itu membabitkan jarak 45 kilometer (km) Selatan dari Gorontalo, Indonesia dengan kedalaman 120 km.

Bagaimanapun, MetMalaysia menyatakan gempa bumi berkenaan tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 12:29 PM