GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak sehingga 5 petang ini.

METMalaysia dalam satu kenyataan berkata, ramalan cuaca itu dijangka membabitkan Langkawi, Padang Terap, Sik dan Baling di Kedah serta Perak di kawasan Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.

"Cuaca sama juga diramal di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala di Terengganu ia membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun

"Selain itu, Pahang di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Temerloh serta Kota Tinggi, Johor," katanya.

Jabatan berkenaan berkata, Wilayah Persekutuan Labuan dan Limbang, Sarawak juga dijangka berdepan ramalan cuaca sama.

"Di Sabah ia membabitkan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Kunak dan Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat," katanya.

Katanya, amaran dikeluarkan apabila ada tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 3:20 PM