DR Mohammad Shatar. FOTO Arkib NSTP
DR Mohammad Shatar. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Cyberjaya: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Naib-Naib Canselor Universiti Swasta (VCCPU) komited meningkatkan imej pengajian tinggi negara ke persada global dengan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan badan akreditasi luar negara untuk turut serta dalam persidangan meja bulat yang bakal dianjurkan VCCPU bagi mengkaji semula strategi meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa yang memilih Malaysia sebagai destinasi menyambung pengajian.

Katanya, MQA dan VCCPU akan meneroka cara untuk terus menggalakkan universiti Malaysia mengguna pakai inovasi seperti micro-credentials, transformasi digital, pembelajaran berasaskan kerja dan meluaskan akses pendidikan fleksibel.

"Kerjasama rapat kedua-dua pihak akan memastikan kami dapat mengatasi sebarang cabaran yang dihadapi secara kolaboratif," katanya pada mesyuarat bersempena dengan lawatan kerja VCCPU ke MQA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi VCCPU, Mushtak Talib Al-Atabi; Naib Pengerusinya, Prof Datuk Dr Sr Omar Osman; Setiausaha VCCPU, Prof Abdul Aziz Baba; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim.

Sementara itu, Mushtak berkata, tujuan lawatan itu adalah untuk meneroka bidang kepentingan bersama termasuk komitmen untuk mengubah Malaysia menjadi hab pendidikan tinggi global dan memastikan pembangunan bakat yang diperlukan bagi memenuhi keperluan negara, rantau dan dunia dalam era Revolusi Perindustrian Keempat.

"Kedua-dua pihak mengesahkan komitmen terhadap keperluan untuk membina sistem pendidikan tinggi yang membolehkan pelajar Malaysia mencapai aspirasi akademik dan kerjaya serta pada masa yang sama menarik pelajar antarabangsa untuk belajar di Malaysia .

"Sistem pengajian tinggi swasta di Malaysia bernilai RM 30 bilion setahun dan berpotensi meningkat kepada RM100 bilion apabila sasaran kebangsaan pengambilan pelajar antarabangsa (seramai 250,000 menjelang tahun 2025) dapat dicapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 4:36 PM