Adham Baba (tengah) sempat melawat gegerai pameran  pada Persidangan dan Pameran AIBP 2022, Royale Chulan Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.
Adham Baba (tengah) sempat melawat gegerai pameran pada Persidangan dan Pameran AIBP 2022, Royale Chulan Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) berusaha untuk melahirkan usahawan inovasi sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berinovasi.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, yayasan yang dikawal selia Mosti itu melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan negara mempunyai modal insan yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan inovatif.

"Program Malaysia Inovasi Sosial (MyIS) Akar Umbi adalah salah satu program 'flagship' YIM bagi meningkatkan pengkomersialan dan menyediakan peluang pembinaan kapasiti kepada inovator akar umbi tempatan.

"Program MyIS bukan saja menambah nilai produk inovasi daripada prototaip kepada pra-pengkomersialan, malah memberi sokongan kepada inovator akar umbi untuk menjadi usahawan inovasi dengan pemberian geran.

"Kita juga menjemput pelabur untuk menyokong ekosistem inovasi akar umbi supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Platform Usahawan Inovasi Asean Ke-36 (AIBP), di sini, hari ini.

Bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan kepada produk inovasi tempatan, Adham berkata, Mosti melancarkan Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-Up Malaysia (Super) bagi mencapai sasaran meningkatkan jumlah syarikat pemula yang inovatif, mempercepatkan perkembangan serta mendorong pertumbuhan syarikat.

Menurutnya, platform MyStartup yang dilancarkan tahun lalu juga sudah merekodkan 3,567 syarikat pemula teknologi dan inovasi.

Katanya, sebanyak 16 intervensi dikenal pasti untuk menyokong perkembangan syarikat pemula itu yang terbahagi kepada lima kategori iaitu pembiayaan, bakat, inovasi, dasar dan peraturan serta ekosistem pasaran.

"Justeru, Mosti meletakkan sasaran untuk Malaysia berada dalam kalangan 20 teratas Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2030.

"Sasaran itu diyakini dicapai sekiranya semua pihak berinovasi dan menggembleng tenaga ke arah peningkatan prestasi bagi kesemua tujuh teras GII," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 1:32 PM