Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) melihat potensi teknologi kenderaan elektrik (EV) dalam usaha memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam dan penghantaran menjelang 2030.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pelancaran program 'Campuses for Electric Vehicle Expeditious Roll-Out' (Clever) hari ini, selaras dengan hasrat kementerian itu meningkatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV tempatan.

Kata beliau, langkah itu bagi menyokong sasaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk menyediakan kira-kira 5,000 stesen mengecas EV bagi mengukuhkan sokongan infrastruktur EV.

"Langkah ini juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk memiliki dan menggunakan EV sebagai pengangkutan pilihan.

"Menerusi NanoMalaysia Berhad (NMB) yang juga peneraju program Clever, ia bertindak mengawal selia dan memacu inovasi syarikat pemula untuk mempercepatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV.

"Ini termasuk pelaksanaan mobiliti elektrik dua roda, stesen pertukaran bateri dan stesen pengecasan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program Clever dan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara NMB dan beberapa universiti tempatan di Pusat Sukan Educity di sini.

Menurut Dr Adham, Clever turut menyediakan medium untuk syarikat pemula dan inovator bagi menjalankan ujian sebenar dalam persekitaran terkawal.

Kata beliau, penglibatan NMB adalah signifikan dalam mewujudkan ekosistem kondusif yang menggalakkan bakat-bakat tempatan untuk membangunkan kecemerlangan teknologi dan memasarkan pencapaian mereka.

"Clever merupakan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV. Kementerian akan memberi sokongan sepenuhnya bagi memastikan program ini berjaya.

"Antara objektif Clever adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon selaras dengan matlamat untuk menjadi negara neutral karbon seawal 2050. Clever melihat potensi yang ada pada universiti sebagai perintis kepada program ini.

"Persekitaran kampus universiti adalah kawasan yang bersesuaian untuk permulaan, berikutan kawasan kampus adalah persekitaran terkawal dengan had kelajuan dan bilangan kenderaan yang kurang berbanding jalan raya utama," ujarnya.

Jelas Dr Adham, kampus universiti juga dilihat bersesuaian sebagai sebuah 'sandbox' untuk pengesahan pasaran, validasi teknologi, pematuhan aplikasi peraturan, piawaian serta pembangunan untuk penggunaan kenderaan EV.

Katanya, Clever akan mengumpulkan data untuk dianalisa seterusnya digunakan sebagai 'proof of concept' bagi tujuan pengkomersialan.

"Program ini akan dimulakan dengan penempatan EV dua roda dan stesen pertukaran bateri, diikuti dengan kenderaan konvensional yang ditukar menjadi EV," katanya.

Menerusi MoU di antara NMB dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), NMB dan UTHM akan bekerjasama menjalankan penyelidikan dan perundingan bagi membangunkan produk, perpindahan teknologi atau idea baharu.

Manakala MoU diantara NMB dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bagi pertukaran kepakaran, pengalaman dan kemahiran.

Bagi MoU diantara NMB bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan NMB bersama EduCity, ia untuk memanfaatkan rangkaian, bidang kepakaran, sumber pengetahuan seterusnya membentuk kerjasama erat di dalam skop Clever di antara ketiga-tiga pihak.

Pada masa sama, NMB juga sudah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan konsortium syarikat automotif di Korea untuk meletakkan Malaysia sebagai pengeksport komponen EV bagi digunakan di dalam ekosistem mobiliti mikro di Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 1:15 PM