DR Adham ketika sesi bersama komuniti.
DR Adham ketika sesi bersama komuniti.
Nurul Husna Mahmud


YAYASAN Inovasi Malaysia (YIM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menghasilkan Dapur Pintar pertama Malaysia di pusat komuniti Kota Tinggi, Johor untuk membantu keluarga komuniti B40 menghasilkan inovasi produk makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh berharap komuniti yang majoritinya dalam kalangan B40 dapat menggunakan alatan automasi dan mesin yang berteknologi di Dapur Pintar ini untuk meningkatkan produktiviti produk makanan tradisional.

"Salah satu mesin hasil inovasi YIM iaitu Karipap Maker berupaya menghasilkan karipap dengan lebih banyak dalam waktu yang singkat.

"YIM juga merancang membawa masuk lebih banyak peralatan moden berkonsep pintar yang dibangunkan inovator YIM seperti dapur lemang moden yang dalam peringkat akhir penciptaan," katanya.

Beliau menambah, inovasi Dapur Pintar itu juga membantu masyarakat mempraktikkan etika pengendalian dan penyediaan makanan yang betul selain belajar penyediaan makanan tradisi Johor.

"Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Kota Tinggi termasuk ruangan Ruang Reka dan Dapur Pintar membolehkan komuniti Keluarga Malaysia menikmati peningkatkan taraf hidup dan pendapatan apabila produk makanan mereka dikomersialkan. Hasil produk Dapur Pintar akan diintegrasikan dengan inovasi studio digital Ruang Reka bagi tujuan pemasaran," katanya.

Peranan YIM membina Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia itu turut membantu golongan B40 dan M40 mendepani kesan Covid-19 serta membantu komuniti mencipta idea inovatif untuk menyelesaikan permasalahan sosial.

Dapur Pintar berkenaan turut menerima lawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr Adham Baba.

Kata Dr Adham, pembinaan Dapur Pintar itu diharap dapat berfungsi sebagai platform dapur pusat berkonsepkan pintar dan berinovasi, sekali gus menambah nilai bahan pembuatan serta pembungkusan produk makanan tradisional supaya lebih berkualiti dan berteknologi tinggi.

Beliau turut merasmikan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia di Parlimen Tenggara, Kota Tinggi, Johor.

Selain YIM dan Mosti, Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Parlimen Tenggara itu turut dibantu Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Johor dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (SUK Johor).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:54 AM