ANGGOTA penyelamat berkumpul sebelum memulakan operasi menyelamat pendaki terkandas di Bukit Bronang, Bau. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA penyelamat berkumpul sebelum memulakan operasi menyelamat pendaki terkandas di Bukit Bronang, Bau. FOTO Ihsan JBPM.
Norsyazwani Nasri


Kuching: Lima pendaki yang terkandas di kawasan air terjun Bukit Bronang di Kampung Bronang, Bau semalam berjaya ditemui pada 10.09 malam tadi.

Sebelum itu, kejadian menimpa mereka dimaklum kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pada 6.50 petang dengan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bau digerakkan ke lokasi yang berjarak lima kilometer.

Komander Operasi, Tiwi Nios berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita yang gagal turun disebabkan hujan lebat dan cuaca gelap.

"Mereka memohon bantuan untuk dibawa keluar dan semua mangsa dapat dihubungi menerusi talian telefon," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat juga dibantu tiga penduduk kampung sebagai penunjuk arah dan semua mangsa ditemui selamat pada 10.09 malam.

Katanya, mereka diserahkan kepada keluarga masing-masing dan operasi ditamatkan pada 12.10 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 9:15 AM