KEADAAN rumah Harun yang musnah dijilat api.
KEADAAN rumah Harun yang musnah dijilat api.

Sitiawan: “Saya sangka rakan bergurau mengatakan rumah saya terbakar tetapi daripada nada cemasnya membuatkan saya juga panik lalu bergegas pulang,” kata Harun Yahya, 70, yang rumahnya di Lorong Utama, Kampung Serdang, di sini, musnah sepenuhnya akibat kebakaran jam 9.40 malam kelmarin

Harun berkata, dia yang berada di rumah adiknya di Pekan Sitiawan di sini, kerana ada kenduri, terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan memaklumkan rumahnya terbakar.

Menurutnya, ketika kejadian tiada sesiapa di rumah kerana seorang anaknya yang tidak mengikutnya ke kenduri itu, keluar berniaga di pasar malam.

“Sebaik sampai di simpang jalan, saya terkejut melihat bomba dan orang kampung berkumpul di depan rumah sebelum diberitahu seorang penduduk, api dipercayai bermula dari ruang tengah rumah di tingkat atas.

“Luluh hati melihat rumah yang sudah didiami 55 tahun itu musnah. Isteri (Jamaliah Khamis, 50) pengsan melihat keadaan rumah kami yang musnah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Harun, semua harta benda termasuk perkakas rumah, dokumen peribadi serta dua buah motosikal musnah dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan Abdul Rahman Mat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.09 malam dan tiga jentera bersama 15 anggota serta pegawai bergegas ke tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 9:07 AM