Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Cari modal untuk buat pembedahan jantina. Itu alasan diberikan seorang pondan warga Thailand yang dicekup sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam serbuan di sebuah kelab malam di Taman Pekan Baru, dekat sini, malam tadi.

Dalam Op Gegar dengan kekuatan 14 pegawai JIM selama dua jam bermula 11 malam itu, pondan berusia 20-an berkenaan ditahan bersama 10 wanita warga asing yang dikesan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis terbabit.

Ketika serbuan, ada antara GRO berkenaan dilihat melarikan diri melalui pintu belakang, namun gagal lolos kerana ia dikunci, dan ada juga yang lari bersembunyi di dalam tandas.

Bagaimanapun, mereka berjaya dikesan pegawai serta anggota JIM.

Ketika semua GRO ditahan, seorang daripada mereka dilihat kurang berkomunikasi dan lebih banyak berdiam diri selain berada dalam keadaan sugul.

Bagaimanapun, dia ketika itu disangka mungkin takut kerana ditahan namun selepas dibawa ke pejabat JIM untuk dokumentasi, rahsia sebalik sikap pendiamnya itu akhirnya terbongkar apabila GRO berkenaan sebenarnya adalah lelaki.

Hasil siasatan lanjut mendapati dia yang pada awalnya disangka perempuan itu mengaku mahu mencari wang dengan cara mudah dan pantas untuk melakukan pembedahan menukar jantina di negara asal.

Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, dalam serbuan itu, seramai 11 individu terdiri daripada seorang lelaki berperwatakan wanita warga Thailand, tujuh wanita Thailand dan tiga wanita Vietnam yang berusia 18 hingga 44 tahun, ditahan .

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

LELAKI berperwatakan wanita yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Izad Thaqif Hassan
LELAKI berperwatakan wanita yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Izad Thaqif Hassan

Menurutnya, semua mereka akan direman bagi membantu siasatan dan mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 9:32 AM