Izad Thaqif Hassan

Kubang Pasu: Ada yang cuba melarikan diri dan ada yang merayu meminta supaya dilepaskan. Itu antara situasi ketika Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah melakukan serbuan di tapak Festival Kebudayaan & Pesta Makanan Antarabangsa Negeri Kedah 2022 di Bandar Darulaman di sini, semalam.

Dalam Op Selera selama dua jam bermula pada 5 petang itu, seramai 51 warga Thailand diperiksa dan 48 daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, mereka yang ditahan itu masing-masing terdiri daripada 29 lelaki dan 19 wanita warga Thailand didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

"Mereka yang berusia 18 hingga 59 tahun itu ditahan ketika sedang bekerja sebagai jurujual makanan di tapak festival terbabit dan semua warga asing itu tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana sedang leka melayani pelanggan di gerai masing-masing.

"Pemeriksaan dijalankan hasil aduan awam dan maklumat risikan berkaitan festival makanan itu yang menggunakan pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pekerja tanpa mendapat pas atau permit kerja sah," katanya yang ditemui selepas serbuan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati setiap majikan terdiri daripada warga Thailand dan menggaji pekerja dengan bayaran RM50 sehari selain turut menanggung penginapan dan makan minum untuk mereka.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati majikan menyewa tapak dengan harga mencecah RM2,800 untuk 10 hari sepanjang festival berkenaan berlangsung.

"Semua pekerja ditanggung penginapan oleh majikan di inap desa dan mereka akan menggunakan khidmat pemandu e-hailing untuk membeli barang," katanya.

Mohd Ridzzuan turut memberi amaran kepada penganjur atau majikan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan Akta Imigresen yang sedang berkuat kuasa bagi mengelak daripada dikenakan tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi.

"Kita juga berharap orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berhubung Pati ini supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan secara berterusan," katanya.

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 48 Pati warga Thailand dalam Op Selera di tapak Festival Kebudayaan dan Pesta Makanan Antarabangsa Negeri Kedah 2022 di Bandar Darulaman. FOTO Izad Thaqif Hassan.
JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 48 Pati warga Thailand dalam Op Selera di tapak Festival Kebudayaan dan Pesta Makanan Antarabangsa Negeri Kedah 2022 di Bandar Darulaman. FOTO Izad Thaqif Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 12:56 PM