Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menahan 33 wanita warga asing dan tiga pondan disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan serentak di empat premis hiburan di Kepong, Kuala Lumpur, semalam.

Serbuan sempena Op Noda bermula 12.15 tengah malam, dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

Seramai 13 pegawai dan 55 anggota polis diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad terbabit serbuan itu.

Menurut sumber, GRO yang ditahan adalah 16 wanita Vietnam, 12 wanita Thailand, lima wanita Laos dan tiga pondan Thailand.

ANTARA pelanggan dan pelayan pusat hiburan yang diperiksa dalam serbuan itu. FOTO ihsan PDRM
ANTARA pelanggan dan pelayan pusat hiburan yang diperiksa dalam serbuan itu. FOTO ihsan PDRM

“Turut ditahan, pekerja keempat-empat premis terbabit seramai 16 orang termasuk seorang wanita, lima lelaki Thailand dan masing-masing tiga dari Pakistan dan Myanmar.

“Lebih 50 pengunjung premis itu diperiksa bagi mengesan sebarang unsur jenayah,” katanya.

Sumber berkata, semakan mendapati dua premis tidak memiliki lesen hiburan, sebuah premis mempunyai lesen tamat tempoh dan sebuah lagi memiliki lesen hiburan.

“Polis turut merampas beberapa barangan di dalam premis bersama wang tunai RM980.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39b Peraturan-peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 4:29 PM