Individu perlu mengambil langkah proaktif untuk tidak menjadi mangsa skim penipuan pelaburan seperti tidak terpedaya dengan janji-janji yang tidak realistik. - FOTO Hiasan
Individu perlu mengambil langkah proaktif untuk tidak menjadi mangsa skim penipuan pelaburan seperti tidak terpedaya dengan janji-janji yang tidak realistik. - FOTO Hiasan
Nur Amirah Abd Rani

TANGGUNGJAWAB mempersiapkan diri dengan ilmu pelaburan bagi setiap individu amat penting bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa skim penipuan pelaburan. 

Menawarkan kadar pulangan kompetitif berbanding simpanan biasa menyebabkan ramai menjadi mangsa bagi skim penipuan pelaburan. 

Pulangan pelaburan lumayan yang tidak masuk akal dalam masa singkat tanpa sebarang risiko adalah faktor ramai memilih untuk melabur bagi membina tabungan.

Bagaimanapun, situasi ini hanya indah khabar dari rupa kerana peluang pelaburan dan keuntungan yang dijanjikan itu hanya janji palsu dan tidak wujud. 

Kenal pasti taktik scammer

Sebagai pelabur berhemah, individu perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk tidak menjadi mangsa skim penipuan pelaburan seperti tidak terpedaya dengan janji-janji yang tidak realistik. 

Antara taktik yang sering digunakan ialah pelabur diarahkan untuk memindahkan wang atau 'deposit' ke dalam akaun bank peribadi seseorang yang mendakwa mewakili entiti yang sah atau ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan.

Bagi mendapatkan kepercayaan dan meyakinkan mangsa untuk tidak curiga, 'scammer' akan mendakwa bahawa entiti mereka dan skim pelaburan berkenaan diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.

Mereka juga akan menggunakan lesen palsu yang kononnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengaburi mata mangsa.

Pelabur boleh membuat semakan secara terus dengan badan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi mendapatkan kepastian mengenai status lesen syarikat pelaburan tersebut sebagai langkah pencegahan. 

Untuk membuat semakan mengenai skim pelaburan yang ditawarkan, pelabur boleh membuat laporan terus kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di talian 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected].

Labur secara berhemah

Orang ramai boleh memperkasakan diri dengan ilmu pelaburan dengan menghadiri InvestSmart® Fest 2022, pada esok hingga 16 Oktober ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), iaitu acara tahunan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Acara ini dikendalikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan kerjasama institusi pasaran modal, persatuan serta agensi berkaitan sebagai usaha untuk melindungi pelabur. 

Bertemakan 'Silap Labur Duit Lebur', InvestSmart® Fest 2022 akan dipenuhi dengan seminar dari pakar-pakar industri terkemuka.

 

Sepanjang tiga hari itu, pengunjung boleh mendapatkan penilaian mengenai perancangan kewangan mereka secara PERCUMA. 

Sesi konsultasi perancangan kewangan dari perancang kewangan berlesen juga akan ditawarkan di bawah inisiatif #FinPlan4u. Tempat adalah terhad!

Mereka yang hadir juga akan berpeluang memenangi cabutan bertuah dan menyertai kuiz yang diadakan sepanjang acara berlangsung.

Jadi, sentiasalah berwaspada dan pastikan anda mengambil langkah-langkah wajar sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Kepada semua pelabur, ambillah peluang ini untuk menimba ilmu pelaburan dan perancangan kewangan yang akan dikongsi oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia!

Untuk maklumat lanjut tentang InvestSmart®, layari laman web InvestSmart® dan akaun media sosial rasmi InvestSmart® di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 3:11 PM