Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sabah tidak akan diserahkan kepada Filipina dan Kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata, keputusan pengisytiharan Mahkamah Paris yang diserahkan oleh Penimbang Tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu bertujuan mengisytiharkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu dengan tuntutan berjumlah AS$14.92 bilion (kira-kira RM 69.7 bilion).

"Apabila saya menyatakan bahawa pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris adalah 'tuntutan peribadi', ia merujuk kepada tuntutan yang dibuat individu persendirian (pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu) dan bukan tuntutan Kerajaan Filipina.

"Selanjutnya, apabila saya menyatakan bahawa tuntutan Sulu dan pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan, kenyataan itu merujuk kepada konteks kedaulatan wilayah sama ada wujud kemungkinan Sabah diserahkan kepada Filipina," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai memberi penjelasan kepada soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan

Foong Hin di Parlimen berhubung isu pertikaian timbang tara antara pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu serta Kerajaan Malaysia.

Terdahulu, Wan Junaidi dilaporkan berkata, Wisma Putra mengambil maklum perkara yang dibangkitkan ahli politik berkenaan dan memantau perkembangan isu berkenaan.

Tindakan beberapa ahli politik Filipina memainkan isu tuntutan ke atas Sabah disifatkan sebagai cubaan 'menangguk di air keruh' susulan tuntutan yang dibuat kumpulan didakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, tuntutan waris Kesultanan Sulu itu adalah suatu provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada masa ini, katanya, pihak berkenaan sedang menggunakan proses timbang tara yang sebagai mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara.

"Proses itu bukan saja disalah guna tetapi juga suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 11:22 AM