Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sidang media mengenai Tuntutan Sulu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sidang media mengenai Tuntutan Sulu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohammmad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak menolak kemungkinan ada rakyat Malaysia yang menjadi dalang terhadap tuntutan kumpulan Sulu yang cuba mengganggu gugat aset dan kedaulatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sehubungan itu pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

"Kami dapat bau-bau ada. Jadi kami hendak siasat. Bila dapat tahu betul, saya akan suruh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud) untuk mencari mereka," katanya pada sidang medianya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Keputusan itu bermaksud penuntut tidak boleh bergantung kepada award yang diputuskan di Perancis itu untuk sebarang tujuan.

Kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka kemudian membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol pada 2019 dan penimbang tara terbabit iaitu Stampa, telah membuat keputusan memihak kepada mereka.

Mengulas lanjut, Azalina turut menegaskan, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab membantu kumpulan Sulu itu akan dilihat sebagai musuh negara dan boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan.

Katanya, tindakan sedemikian sebagai menentang kedaulatan negara, kepimpinan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Saya mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ini satu serangan yang serius terhadap kedaulatan negara walaupun tidak dilihat dari elemen senjata api tetapi elemen untuk memufliskan negara Malaysia dengan penganugerahan (timbang tara)," katanya.

Azalina berkata, kerajaan juga akan menentang habis-habisan terhadap tindakan yang disifatkannya mengambil kesempatan termasuk menyaman pihak terbabit.

Katanya, tindakan itu disifatkannya seolah-olah mahu merendahkan Malaysia dengan membuat tuntutan palsu terhadap kepentingan dan aset di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 3:29 PM