Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Tindakan beberapa ahli politik Filipina memainkan isu tuntutan ke atas Sabah disifatkan sebagai cubaan 'menangguk di air keruh' susulan tuntutan yang dibuat kumpulan didakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Wisma Putra mengambil maklum perkara yang dibangkitkan ahli politik berkenaan dan memantau perkembangan isu berkenaan.

"Tuntutan pihak mendakwa waris (Kesultanan) Sulu ini adalah tuntutan peribadi kepada Malaysia sebagai menuntut daripada apa yang dikatakan sewaan jajahan Sabah dahulu, bukan tuntutan yang ada kena mengena dengan kedaulatan Sabah itu sendiri.

"Setakat ini Wisma Putra sudah mengambil maklum ada perkara dibangkitkan senator dan ahli politik di Filipina, ketika itu nanti apabila kerajaan Filipina beri maklum balas kepada kehendak politik ini, barulah Wisma Putra mengambil tindakan," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) sama ada kerajaan akan memanggil Duta Filipina berhubung isu dua Senator negara itu yang mahu Filipina memperbaharui tuntutan ke atas Sabah.

Wan Junaidi berkata, isu tuntutan kumpulan mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu kepada Malaysia lebih bersifat peribadi dan tidak berkaitan dengan kedaulatan Sabah itu sendiri.

Katanya, tuntutan itu adalah berhubung kepada apa yang dikatakan sebagai sewaan jajahan ke atas Sabah.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai status tindakan diambil oleh kerajaan berhubung isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, Wan Junaidi berkata, kerajaan giat melaksanakan tindakan komprehensif dalam menghadapi semua tindakan perundangan di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP
WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO arkib NSTP

"Sehingga kini, pihak penuntut yang mendakwa waris kepada Kesultanan Sulu diwakili sekumpulan peguam diketuai Paul Cohen membawa proses arbitrasi ke beberapa buah negara iaitu bermula di Sepanyol di mana pada 29 Jun 2021, Mahkamah Madrid memutuskan bahawa pelantikan Penimbang Tara, Dr Gonzalo Stampa

telah pun terbatal dan tidak sah.

"Namun, beliau bersama pihak penuntut bertindak tanpa mempedulikan keputusan pembatalan terbabit dan memindahkan proses timbang tara dari Sepanyol ke Perancis.

"Terkini, pasukan peguam penuntut dalam proses untuk menguatkuasakan 'final award' oleh Dr Gonzalo Stampa di Belanda bagi menuntut melalui proses sitaan aset syarikat Malaysia di sana," katanya.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara sentiasa komited dan akan mencabar segala proses perundangan yang perlu dihadapi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 12:27 PM