Keadaan empat penunggang berbasikal yang dirempuh motosikal di Jalan Bukit Batu, Ayer Baloi Pontian.
Keadaan empat penunggang berbasikal yang dirempuh motosikal di Jalan Bukit Batu, Ayer Baloi Pontian.
Oleh Togi Marzuki


Pontian: Empat penunggang basikal cedera dirempuh sebuah motosikal ditunggang remaja 18 tahun di Kilometer 11.9 di Jalan Ayer Baloi, Bukit Batu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Muhammad Shofee Tayib, berkata dalam kejadian jam 6.11 petang itu turut menyebabkan remaja lelaki yang menunggang motosikal Honda RS cedera.

"Hasil siasatan awal, empat penunggang berbasikal berusia 31 hingga 60 tahun dalam perjalanan dari arah Bukit Batu ke Ayer Baloi Pontian.

"Bagaimanapun apabila tiba di lokasi berkenaan, mereka dirempuh sebuah motosikal dari belakang," katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu penunggang basikal dan motosikal terbabit masing-masing mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Ayer Baloi sebagai pesakit luar.

Muhammad Shofee, berkata semasa kejadian keadaan jalan lurus, licin hujan renyai-renyai serta cuaca redup.

"Semua basikal berkenaan memasang lampu ketika kejadian dan penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu, " katanya kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 10:52 AM