Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Setakat jam 12.15 tengah hari, hari ini, tiada sebarang perubahan dalam jadual Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijangka menghadiri Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia (MIC) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini, yang dijadualkan jam 2.30 petang.

Perkara itu disahkan sumber rapat Pejabat Perdana Menteri ketika ditanya wartawan sama ada Ismail Sabri yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos 2021 lalu, akan hadir ke perhimpunan berkenaan atau sebaliknya.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara untuk mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen.

Memetik laporan New Straits Times (NST), kunjungan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak dihidu media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke London, malam tadi bagi mengadakan lawatan khas ke United Kingdom yang bermula hari ini hingga 16 Oktober.

Turut kelihatan mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong di lapangan terbang ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat yang mana kehadiran beliau dikaitkan dengan desas-desus pembubaran Parlimen hari ini.

Pagi tadi, portal BH Online melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata Dewan Rakyat tidak menerima apa-apa pemakluman berkaitan pembubaran Parlimen.

Sehubungan itu beliau berkata, sesi Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas akan diteruskan seperti dijadualkan esok yang antara lain akan membahaskan Bajet 2023.

Mengulas lanjut, katanya, persidangan Dewan Rakyat esok, adalah hari pertama bagi pembahasan Bajet 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu.

"Ya (sidang) diteruskan, macam biasa, kecuali saya dimaklumkan apa-apa, setakat ini tiada sebarang pemakluman, saya tidak tahu benda ini (pembubaran Parlimen) kerana ia adalah kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

"Esok akan berlangsung waktu pertanyaan menteri (MQT), pertanyaan lisan dan diteruskan dengan pembahasan Bajet 2023," katanya kepada BH, hari ini.

Berdasarkan takwim Parlimen, sesi Dewan Rakyat yang bermula 3 Oktober lalu dijadual berlangsung hingga 29 November ini.

Ketika diminta mengulas mengenai pembubaran Parlimen, Azhar berkata, tiada perbincangan langsung mengenai perkara itu ketika berada di lapangan terbang.

Beliau berkata, malah beliau hanya merafak sembah selamat berangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Tiada perbincangan langsung, tidak sampai seminit pun... saya merafak sembah selamat sebelum baginda berangkat.. itu sahaja.

"Saya memang akan mengiringi Yang di-Pertuan Agong ke lapangan terbang jika baginda berangkat ke luar negara kecuali jika saya berada di dewan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika dihubungi memaklumkan beliau sedang bermesyuarat dan tiada ulasan lanjut diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 1:37 PM