JABATAN Peguam Negara Putrajaya. FOTO Arkib NSTP
JABATAN Peguam Negara Putrajaya. FOTO Arkib NSTP
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar yang membuat permohonan semakan kehakiman bagi menghalang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, didakwa tidak memaklumkan bagaimana haknya mengikut undang-undang terjejas akibat pembubaran Parlimen.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, maklumat yang diberikan oleh Syed Iskandar selaku pemohon adalah hanya beliau pengundi berdaftar, mengundi pada PRU-14 dan berhak untuk menyertai pilihan raya.

"Tiada petunjuk mengenai hak undang-undang khusus pemohon dalam perkara itu (semakan kehakiman) dan bagaimana hak itu terjejas akibat pembubaran Parlimen.

"Secara logiknya pembubaran Parlimen dan pengendalian PRU-15 sebenarnya akan membolehkan pemohon sebagai pengundi menggunakan hak untuk mengundi," katanya ketika berhujah pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini.

Syed Iskandar, 55, yang juga pengundi di kawasan Parlimen Pandan, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu, pada 14 Oktober lalu.

Peguam itu dilaporkan mahu deklarasi terhadap permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 9 Oktober lalu, supaya Parlimen dibubarkan adalah terbatal dan tidak berkuat kuasa.

Sementara itu, peguam Syed Iskandar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata anak guam mencabar tindakan Ismail Sabri yang secara tidak munasabah dan tanpa niat baik membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk membubarkan Parlimen.

"Mahu bubar Parlimen mesti ada permintaan. Agong mempunyai kuasa tetapi baginda tidak berangkat ke Parlimen dan terus bubarkan Parlimen.

"Kami tidak mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong. Parlimen dibubarkan kerana permintaan dibuat Perdana Menteri," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini untuk keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 2:02 PM