Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Seramai 2,340 peserta membabitkan 78 kontinjen menjayakan perarakan sejauh kira-kira empat kilometer sempena Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022 Peringkat Terengganu, hari ini.

Perarakan diketuai Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bermula dari padang bola tiruan di Kampung Tok Jiring ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini.

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan dalam perarakan itu, yang menyaksikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu memenangi Kategori Jabatan dan Badan Berkanun Negeri; Jabatan Pendidikan Terengganu (Kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan); dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu (Kategori Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta).

Selain itu, kategori pasukan beruniform dimenangi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu; Kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO), Masjid Al-Hijrah dan kategori Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), JKKK Bukit Besar (Ladang).

Semua pasukan yang menang dalam pertandingan perarakan membawa pulang hadiah wang tunai, RM3,000.

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1444 Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Komplesk Sukan Negeri Gong Badak, di sini, hari ini.

Dalam titah perasmian, Sultan Mizan menyarankan supaya masjid dan surau memperbanyak program serta aktiviti yang menjurus kepada menzahirkan perasaan cinta dan sayang kepada Nabi Muhammad SAW.

Baginda bertitah, antara lain memperbanyak alunan bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW, di samping mewujudkan kelas pengajian berzanji dan marhaban di masjid serta surau di Terengganu.

"Beta percaya dan yakin, rakyat jelata dalam kalangan umat Islam di negeri ini akan menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha lebih kuat bagi mencapai kejayaan hidup berpandukan risalah ajaran yang dibawa Rasulullah SAW," titah baginda.

Turut berkenan berangkat pada majlis itu Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Yahaya Ali dan Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 3:36 PM
ANTARA kontinjen yang menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022 peringkat Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
ANTARA kontinjen yang menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022 peringkat Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
ANTARA kontinjen yang menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022 peringkat Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
ANTARA kontinjen yang menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022 peringkat Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori