Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Rakyat Terengganu diingatkan supaya bersatu hati untuk membangunkan negeri selain, mempertingkatkan perpaduan dengan mengikuti dan menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW serta sahabat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah, terutama berkaitan akhlak Baginda.

"Beta seorang yang amat menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama.

"Justeru, kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai dalam kalangan kita di samping memangkinkan usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab yang tinggi," titah baginda.

Sultan Mizan bertitah merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, hari ini.

Keberangkatan Tuanku diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

SULTAN Mizan Zainal Abidin bertitah semasa menyempurnakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
SULTAN Mizan Zainal Abidin bertitah semasa menyempurnakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak. FOTO Ghazali Kori

Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama 2,208 peserta membabitkan 69 kontinjen berarak dari padang bola Tok Jiring ke Stadium Tertutup Gong Badak.

Kontinjen Yayasan Islam Terengganu (YIT) muncul Johan bagi kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan.

Sementara, Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang dinobat Johan kategori Sekolah Menengah dan IPTA/IPTS; Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Johan kategori badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta manakala JPKK Mukim Wakaf Tembesu diumum Johan kategori Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 1:01 PM