Anggota bomba melakukan pemantauan di kawasan yang dilanda banjir kilat berdekatan sebuah chalet. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba melakukan pemantauan di kawasan yang dilanda banjir kilat berdekatan sebuah chalet. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Pasangan suami isteri mengharungi detik cemas 30 minit apabila kereta dinaiki terkandas dalam banjir kilat berdekatan sebuah chalet di Pulai di sini sebelum diselamatkan anggota bomba pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung banjir kilat di lokasi kejadian pada jam 7.10 pagi.

Beliau berkata, setibanya di lokasi didapati sebuah kereta Perodua Axia yang dinaiki pasangan terbabit masing-masing berusia 49 dan 30-an itu terkandas dalam banjir kilat.

"Berikutan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling kemudian membantu memindahkan mangsa ke surau berhampiran.

"Pasukan keluaran operasi kemudian melakukan pemantauan di kawasan lokasi banjir kilat susulan hujan lebat itu untuk memastikan keadaan selamat," katanya di sini hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat pada jam 8.14 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 10:58 AM